Perlumbaan motosikal Motosikal

Sejak motosikal mula dicipta, pelbagai jenis perlumbaan yang diadakan bagi menguji kelajuan serta kuasa motosikal yang dipertaruhkan di samping kecekapan penunggang dalam mengendalikan motosikal masing-masing. Acara perlumbaan yang dijalankan adalah sama ada perlumbaan motocross yang diadakan di litar jalan tanah merah ataupun perlumbaan yang dijalankan di atas litar berturap.

Kejohanan Grand Prix Motosikal, atau MotoGP adalah siri perlumbaan motosikal yang paling penting seperti mana Formula Satu bagi perlumbaan kereta. MotoGP diadakan dalam 3 kategori iaitu MotoGP, 250 cc dan 125 cc. Satu lagi siri perlumbaan motosikal yang tidak kurang hebatnya ialah perlumbaan Superbike yang mempertaruhkan model-model superbike 1000 cc dan 600 cc.

Di Malaysia, kejohanan Malaysian Cub Prix diadakan bagi mencungkil bakat pelumba-pelumba negara di samping menyediakan satu saluran yang betul bagi golongan muda menyertai sukan bermotor untuk mengelakkan mereka melibatkan diri dalam perlumbaan haram. Perlumbaan Cub Prix terdiri daripada kategori Novice, Expert dan Wira yang menggunakan model-model motosikal kapcai.